KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang tadi, hari ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir sama di Balai Singgah Kecil menyaksikan upacara bersejarah itu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara, Tun Tenku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Selain itu, turut kelihatan pemimpin-pemimpin parti politik negara seperti Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, kehilangan majoriti selepas 15 Ahli Parlimen UMNO yang diketuai Ahmad Zahid, telahpun mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya. Sehubungan itu, pada 17 Ogos lalu, Speaker Dewan Rakyat telah mengutuskan surat kepada kesemua 220 Ahli Parlimen, memaklumkan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka semua perlu mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) bagi memilih seorang calon Perdana Menteri yang baharu.
Pada 19 Ogos, 114 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan mereka terhadap Ismail Sabri, telah dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi mengesahkan pilihan mereka itu. Selesai pertemuan Agong dengan enam Raja-raja Melayu, Istana Negara pada Jumaat telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan perkenan Agong untuk melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu. – ASTRO AWANI

One reply on “Ismail Sabri Selesai Angkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-9”
[…] ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri Selesai Angkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-9 […]
LikeLike