Kategori
Berita

“Terima Kasih Penjawat Awam.” – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam terhadap sumbangan kewangan yang diberikan mereka untuk membantu negara menangani pandemik COVID-19.

Menurutnya, sumbangan melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) itu mencerminkan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, langkah tersebut membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini.

“Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah SWT.

“Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pada Rabu.

Sebahagian Imbuhan Tetat Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi bagi Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana selama tiga bulan.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, sumbangan daripada lebih 800,000 penjawat awam itu tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga 28 dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta. – SHARE RANGERS

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen