KUALA LUMPUR, 1 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan sebanyak 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) menghampiri ruang udara Malaysia, Isnin lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pesawat mencurigakan itu telah memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada pagi Isnin.
Menurutnya, penerbangan pesawat-pesawat PLAAT tersebut telah dikesan oleh radar pertahanan udara TUDM di Pusat Pertahanan Udara (CRC 2), Sarawak pada jam 11.53 pagi.
“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.
“Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” ujarnya.

Tambahnya, pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots.
“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara,” tambahnya.
Lantaran itu, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap siaga melalui Operasi Curiga TUDM. Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut adalah jenis Llyushin ll-76 dan pesawat Xian Y-20

Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi, ujar Tan Sri Ackbal. Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar telah mengambil maklum terhadap perkara ini melalui Kementerian Pertahanan. – Astro Awani
