Categories
Berita

Tragedi Remaja Lemas Bantu Mangsa Banjir: Ibu Hairan Arwah Sempat Makan ‘Nasi Dingin’

KUALA KRAI, 7 Jan – Mohammad Hakimin Mohd Rahim sempat menjamah ‘nasi dingin’ (nasi semalaman) tengah hari semalam kerana mengejar masa bagi membantu penduduk kampung yang terjejas ekoran banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Ibunya, Norazila Mohamad, 46, beliau berasa hairan kerana anak ketiganya itu selama ini hanya makan nasi panas dan tiada yang menyangka bahawa itulah kali pertama dan terakhir makan nasi sebegitu.

Terdahulu, Mohammad Hakimin, 20, ditemukan lemas apabila dirinya terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perayu membawa dua penumpang menuju ke PPS berdekatan dalam kejadian banjir di Kampung Manjor malam tadi.

Norazilah berkata, arwah anaknya itu sempat pulang ke rumah pada tengah hari serta memberitahu yang dirinya belum makan nasi lalu mengambil sendiri nasi sejuk dan menggoreng telur.

“Inilah pertama kali dia makan nasi sebegitu. Sejak kecil dia memang suka membantu dan mesra dengan orang Kampung Manjor, setiap kali banjir dia selalu membantu mangsa dan membawa barangan dipindahkan menggunakan perahu untuk ke PPS berdekatan.

“Sehari sebelum penempatan kami dinaiki air, arwah yang baru pulang daripada bermain futsal terus mengejutkan penduduk kampung supaya berkemas untuk berpindah ke PPS apabila melihat air mula naik mendadak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya lagi, sebelum kejadian, anak lelakinya itu memintanya untuk mengemas barang-barang untuk berpindah ke rumah saudara-mara dengan menaiki perahu yang dipinjam daripada penduduk kampung.

“Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku malam tadi, kawannya ada menghubunginya memberitahu untuk menumpang di PPS berdekatan dan dia segera ke seberang untuk menjemput rakannya itu dengan mendayung perahu.

“Namun, ketika dalam perjalanan rakannya yang berada di dalam perahu tidak menyedari kehilangannya kerana masing-masing berpaling ke arah bertentangan, namun sebaik memandang ke tempat Hakimin, mereka terkejut kerana melihat arwah sudah hilang,” katanya.

Selepas dimaklumkan rakan Allayarham anaknya, suaminya Mohamad Rahim Mohamad Yusof, 53, bersama dua lagi abang kembar Muhammad Hakimin segera memulakan pencarian pada malam itu juga dan memaklumkan kepada pasukan penyelamat sebelum jasadnya ditemukan kira-kira jam 8 pagi tadi.

Beliau meluahkan rasa sedih apabila Mohammad Hakimin tidak sempat menghadiri temu duga sebagai anggota polis yang dipohon pada tahun lepas. Jenazah anaknya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjor selepas solat asar tadi. – BERNAMA

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading