Categories
Berita

Agong Tinjau Situasi Banjir Di Pahang Melalui Udara

KUANTAN, 7 Jan – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau keadaan banjir di Pahang melalui udara dengan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istana Negara melalui satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan dengan menaiki pesawat EC725 pada jam 9 pagi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa. 

“Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga bagi menyantuni mangsa banjir di di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini. 

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang dari Istana Negara, Selasa lalu, bagi meninjau keadaan banjir Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum berangkat ke Kuantan. – BERNAMA

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading