SEKTOR penerbangan pastinya akan menerima impak yang mendalam ekoran pandemik COVID-19 yang memaksa sempadan negara-negara di dunia ditutup. Namun lain pula dengan usaha syarikat penerbangan AirAsia mewujudkan perkhidmatan penghantaran makanan sendiri yang diberi nama ‘airasiafood’ demi kelangsungan syarikat tersebut di saat-saat getir ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes hari ini berkongsikan pengalamannya menjadi penghantar makanan, beliau kelihatan tidak kekok dalam melaksana dan seakan-akan sudah terbiasa dengan pekerjaan sebegitu.
“Getting ready to make food deliveries to your house. (Bersiap sedia untuk menghantar makanan ke rumah anda.)” tulisnya ringkas.
Menerusi laman Instagramnya, beliau menunjukkan dirinya yang sedang bersedia serta mengenakan baju-T berwarna putih, sambil berdiri bersebelahan motosikal bersama-sama beg makanan tertulis ‘airasia.com/food’. Rata-rata warganet menyambut baik usahanya itu, lebih 12,000 tanda suka dan hampir 400 komen direkodkan setakat artikel ini ditulis.
Terdahulu, syarikat penerbangan AirAsia mewujudkan perkhidmatan baharu iaitu penghantaran yang membawa gelaran sebagai ‘airasiafood’ seumpama saingannya Foodpanda, GrabFood dan sebagainya.
Jika dilihat semula, AirAsia sememangnya sudah lama berhasrat mempelbagaikan kegiatan pengoperasian mereka, tidak hanya tertumpu kepada penerbangan sahaja, ia bertujuan untuk memenuhi segala pemintaan pelanggan aktif mereka diminta selama ini. – SHARE RANGERS
