KUALA LUMPUR, 10 Nov – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kini memberikan kebenaran kepada para penduduk sekitar Kuala Lumpur untuk membuka gerai perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai sekitar bandar raya, mulai 15 November ini.
Walaubagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa pada peniaga dikehendaki memohon lesen perniagaan sementara terlebih dahulu. Lesen tersebut sah selama enam bulan di laman web DBKL di samping ia ditawarkan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang memohonnya.
“Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ … sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.
“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya lagi, beliau telah mengadakan perbincangkan dengan majlis perwakilan penduduk di ibu negara berhubung perkara itu agar pihak berkaitan memberikan kerjasama dalam melakukan pemantauan di peringkat komuniti. Beliau turut mengingatkan para peniaga agar mereka tidak berniaga di lokasi yang berpotensi untuk mengancam keselamatan awam, mengundang kesesakan lalu lintas dan perlu menjaga kebersihan di sekitar ibu kota.
Terdahulu, Annuar menyerahkan bantuan gerai, lesen penjaja dan sebuah unit Projek Perumahan Rakyat kepada Nurjahan Mariamah Abdullah, 45, yang hilang pekerjaan sebagai tukang cuci akibat COVID-19 dan kini terpaksa menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa, di sini.
Kisah ibu tunggal dikenali sebagai Puan Mary yang perlu menanggung tiga anak dan ibunya, mula tular sejak beberapa minggu lepas dan mendapat perhatian ramai, termasuk Annuar dan DBKL. Sementara itu, Nurjahan Mariamah melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberi dan beliau bertekad akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk menjana pendapatan dan menaikkan taraf hidup.
“Selepas ini saya tidak perlu lagi berjalan kaki dan membahayakan diri untuk berniaga, orang ramai yang ingin beli nasi lemak dan bihun, lebih senang cari saya di gerai,” katanya. – BERNAMA
