BARU-BARU INI, penduduk Selangor kembali dibebani dengan gangguan bekalan air yang melibatkan 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. Gangguan bekalan air tidak berjadual ini telah menjejaskan 1,196,457 akaun di kawasan-kawasan tersebut.
Keadaan itu bertambah perit apabila penduduk terpaksa menharungi pandemik COVID-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disamping mengharungi gangguan bekalan air. Susulan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew tampil membekalkan lori air untuk diagihkan kepada penduduk-penduduk sekitar Batu Caves yang terjejas ekoran gangguan bekalan air ini.
“Sayu hati rasa. Selangor tiada air. Saya beli air 2 lori besar untuk diagihkan. Dari 10 malam kami keluar rumah uruskan sampai Subuh dan sekarang masih belum selesai mengagihkan air di area pinggiran Batu Caves,” tulis Ebit di akaun Facebook beliau.
Walaupun situasi sebegini diluar tanggungjawabnya, beliau seakan-akan berasa tidak senang duduk akan kesusahan yang dialami oleh orang diluar sana. Beliau sedih apabila dapat mengetahui bahawa terdapat warga emas yang tidak lagi berkemampuan untuk melakukan kerja-kerja bahawa seperti mengambil air apatah lagi mengangkat.
“Ada adik kecil-kecil sangat datang ambil air. Untuk masak dan minum agaknya. Ramai yang muda bantu yang tua. Pengerusi flat dan ajk semua kuat membantu bersama ajk surau. Ya Allah. Bantulah semua negeri-negeri yang ada masalah air permudahkanlah ya Allah. Bukalah jalan buat kami semua,” ujarnya lagi.
Lantaran itu, marilah kita bersama-sama mendoakan supaya segala usahanya dipermudahkan memandangkan bekalan air juga perlu disalurkan kepada kawasan yang lain termasuklah premis-premis lain yang tersangatlah memerlukan air seperti pusat dialisis dan klinik.
Sumber: FB Ustaz Ebit Lew
