Categories
Ringkas

“Alhamdulillah!” Tangan Lans Koperal Thierry Berjaya Disambung Dalam Pembedahan Lapan Jam

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Seorang anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, berjaya menjalani pembedahan penyambungan semula pergelangan tangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Khamis.

Prosedur selama lapan jam itu dilakukan selepas tangan kanannya terputus akibat serangan seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang.

Perkembangan positif berkenaan dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi satu hantaran di Facebook.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas perkhabaran gembira mengenai kejayaan pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation) Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan HKL yang terlibat, termasuk pakar bedah, doktor, jururawat serta petugas perubatan lain.

Penghargaan khusus diberikan kepada pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai Dr. Allan Ravi Rajagopal bersama Dr. Aziz Sabbir Husain.

Menurut Dzulkefly, kejayaan tersebut memerlukan ketelitian tinggi dengan penggunaan mikroskop pembedahan sepanjang prosedur berlangsung.

Pasukan Neurosurgeri HKL turut menerima pujian kerana membantu mengendalikan kecederaan pada bahagian kepala anggota polis berkenaan.

Beliau menyifatkan kerjasama antara pelbagai kepakaran itu sebagai bukti keupayaan perkhidmatan kesihatan awam dalam mengendalikan kes kecemasan yang kompleks.

Dzulkefly turut memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan rawatan menyeluruh bagi membantu memulihkan fungsi tangan Thierry sebaik mungkin.

Beliau juga berharap anggota polis itu diberikan kesembuhan sepenuhnya, selain mendoakan kekuatan buat keluarganya.

“Seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan saudara dalam mempertahankan keselamatan awam,” katanya.

Terdahulu, Thierry dilaporkan diserang seorang lelaki warga asing di sebuah premis kediaman sekitar Desa Aman Puri, Kepong, pada Rabu.

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗢𝗳𝗢𝗲𝗱 π—”π˜‚π˜π—΅π—Όπ—Ώ β˜‘
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori β€œRingkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan