Categories
Ringkas

Dakwa Peguam Negara Ingkar Titah: Rayer Lapor Polis Terhadap Ahmad Maslan Dan KJ

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung kenyataan mereka terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Rayer mendakwa kedua-duanya mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dengan mempersoalkan tindakan Peguam Negara berkaitan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Gadek pada pagi tadi bersama Senator Dr RA Lingeshwaran. Rayer turut meminta tindakan diambil terhadap pihak yang mendesak Peguam Negara dipecat, meletakkan jawatan atau bercuti.

“Realitinya Peguam Negara hanya memohon perintah dikeluarkan oleh mahkamah pada Jumaat lalu diperjelaskan dengan lebih lanjut di mahkamah,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau turut merujuk perintah terbaharu Mahkamah Tinggi berhubung tahanan rumah Najib yang menurutnya membuktikan Peguam Negara tidak mengingkari titah diraja.

Terdahulu, Ahmad Maslan membuat laporan polis pada 7 November di Balai Polis Benut berhubung kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib. Khairy pula pada 8 November menggesa Peguam Negara bercuti sementara siasatan dijalankan.

Rayer memaklumkan kira-kira 190 laporan polis telah dibuat terhadap Mohd Dusuki di seluruh negara.

Beliau menyifatkan penggunaan laporan polis bagi tujuan politik sebagai amalan tidak sihat, khususnya apabila melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan seperti Peguam Negara. – Harian Metro

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗢𝗳𝗢𝗲𝗱 π—”π˜‚π˜π—΅π—Όπ—Ώ β˜‘
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori β€œRingkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan