Categories
Ringkas

Kualiti Udara Dijangka Terus Bertambah Baik Susulan Peralihan Monsun – JAS

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Kualiti udara dijangka terus bertambah baik susulan keadaan semakin lembap serta hujan yang lebih kerap di beberapa kawasan, selain penurunan tahap amaran jerebu serantau oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata meskipun titik panas kebakaran masih dikesan di beberapa kawasan rantau Asia Tenggara, perubahan corak tiupan angin susulan peralihan monsun dan kemasukan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka membantu mengurangkan asap jerebu rentas sempadan ke Malaysia.

Beliau berkata tiupan angin yang lazimnya bergerak dari arah timur laut ke barat daya berpotensi mengurangkan kemasukan asap dari kawasan Sumatera ke Semenanjung Malaysia.

Azuri Azizah berkata pemantauan semasa JAS mendapati keadaan kualiti udara di kebanyakan kawasan di Malaysia menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

“Setakat hari ini, tiada stesen pemantauan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat atau lebih tinggi. Namun, JAS akan terus memantau keadaan kualiti udara negara secara berterusan,” katanya kepada Bernama.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 39 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana setakat 3 petang ini, manakala 29 kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik.

Dalam pada itu, Azuri Azizah menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka terhadap bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mengikuti nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Tinggalkan Balasan