Categories
Ringkas

SIC Ditutup Sementara Bagi Kerja Baik Pulih – Taufiq

SUNGAI PETANI, 25 Ogos – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan ditutup sementara mulai 7 Sept ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih sebelum bermulanya perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga menyelaraskan gerak kerja supaya proses sebelum dan semasa berlangsungnya perlumbaan itu akan lebih lancar.

“Sekarang ini gerak kerja sedang dilaksanakan dan bermula 7 Sept, SIC akan ditutup sepenuhnya. Orang luar tidak boleh menyewa sebab akan ada kerja-kerja baik pulih dalam SIC.

“Kerja baik pulih antaranya melibatkan trek, tempat duduk, tandas dan semua elemen supaya imej negara kita dapat diangkat pada peringkat dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini, hari ini.

Beliau berkata tiga jawatankuasa diwujudkan membabitkan jawatankuasa induk, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kecil bagi melancarkan penganjuran F1 GP Bahrain di negara ini.

“Setiap minggu, jawatankuasa teknikal akan bermesyuarat pada Selasa, dan kemudian kita akan bentangkan hasil mesyuarat dalam mesyuarat Kabinet.

“Setakat hari ini, kita telah pun memeterai perjanjian antara pihak SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain, dan kita telah menyetujui beberapa perkara termasuk penjualan tiket, parkir dan sebagainya,” katanya.

Mohammed Taufiq berkata perlumbaan F1 GP Bahrain yang dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Okt ini dijangka memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.

“Dalam tempoh tiga hari penganjuran perlumbaan itu, kita mahu pastikan limpahan ekonomi yang positif akan dirasai oleh rakyat Malaysia.

“Minggu depan, kita akan buat pelancaran sukarelawan bagi mereka yang berminat menyertai pasukan sukarelawan untuk perlumbaan F1,” katanya. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading