Categories
Ringkas

PDRM Sedia Tempatkan Anggota Sertai AVSEC Di Lapangan Terbang Negara

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan kesediaan untuk terlibat secara langsung dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di lapangan terbang negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk memperkemas aspek keselamatan penerbangan secara segera.

Menurut beliau, kerjasama antara PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan kini sedang diperincikan bagi menentukan kaedah pelaksanaan yang sesuai.

“PDRM bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan sedang memperincikan mekanisme pelaksanaannya termasuk skop penugasan, lokasi penempatan, keperluan sumber manusia, bidang tanggungjawab serta penyelarasan operasi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Khalid berkata, penyertaan PDRM dijangka memperkukuh perkongsian maklumat risikan selain membantu mengenal pasti ancaman terhadap keselamatan penerbangan pada peringkat awal.

Katanya, langkah itu turut membolehkan tindakan penguatkuasaan diselaraskan dengan lebih berkesan sekiranya berlaku kegiatan jenayah yang cuba mengambil kesempatan terhadap kemudahan penerbangan.

“Langkah ini akan menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan berlapis, merangkumi pengukuhan kawalan akses, prosedur saringan, pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko serta kerjasama strategik antara semua agensi dan pihak berkepentingan.

“Beliau berkata, sistem keselamatan yang menggabungkan kawalan ketat dengan pendekatan berasaskan risikan mampu mengurangkan ruang untuk dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Pelaksanaan kawalan keselamatan yang lebih ketat, bersepadu dan berasaskan risikan diyakini mampu memperkukuh keupayaan pencegahan, mengurangkan risiko serta menutup ruang yang berpotensi dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mohd Khalid turut menegaskan bahawa keselamatan penerbangan serta pintu keluar masuk negara kekal menjadi keutamaan PDRM. – Noor Hidayah Tanzizi / Harian Metro

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading