Categories
Ringkas

SIC Terikat NDA, Enggan Ulas Kemungkinan F1 Kembali Ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) enggan mengulas spekulasi berhubung kemungkinan perlumbaan Formula Satu (F1) kembali dianjurkan di Malaysia pada Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya tidak dapat memberikan penjelasan lanjut ketika ini kerana terikat dengan syarat kerahsiaan atau perjanjian tanpa pendedahan (NDA) bersama Liberty Media, pemegang hak komersial F1.

“Buat masa ini, kami masih terikat dengan NDA bersama F1 (Liberty Media) dan tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut,” katanya dalam respons ringkas kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Mohammed Taufiq Johari dalam satu kenyataan memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengadakan perbincangan serta menjalankan penilaian terhadap kemungkinan menganjurkan perlumbaan F1 di SIC bagi menggantikan Grand Prix (GP) Bahrain pada Oktober ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS telah menerima makluman awal mengenai kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1, selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan itu pada 2017.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja ia dimuktamadkan,” katanya.

Sementara itu, portal sukan permotoran The Race pada Khamis melaporkan Malaysia berkemungkinan dimasukkan ke dalam kalendar F1 pada notis singkat tahun ini sekiranya konflik melibatkan Iran terus menjejaskan jadual perlumbaan. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading