Categories
Ringkas

Polis Tahan Enam Pelajar Lelaki Bantu Siasatan Kes Buli Di Muar

JOHOR BAHRU, 28 Jun – Polis menahan enam pelajar lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki 14 tahun di sebuah sekolah di Muar pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata semua suspek ditahan di sekitar Muar dan Alor Gajah, Melaka antara 1.30 hingga 2.12 pagi tadi susulan laporan polis petang semalam.

Beliau berkata mangsa mendakwa dipukul pada dada selain mengalami lebam di mata akibat dihantuk kepala selain dipaksa menyerahkan wang kepada suspek.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami tekanan emosi dan trauma sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa dikatakan menghisap vape yang diperoleh daripada seorang pelajar lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

“Polis turut menyiasat elemen pengabaian oleh pihak warden serta pengurusan sekolah memandangkan kejadian berlaku di asrama mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar lain yang menjadi mangsa buli kumpulan itu untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading