PUTRAJAYA, 12 Mei – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, pada Selasa memohon maaf susulan kekeliruan yang timbul ekoran laporan mengenai dakwaan kerajaan berkemungkinan mengehadkan subsidi petrol BUDI95 kepada 150 liter.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan beliau yang dibuat dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank awal pagi ini telah dilaporkan secara tidak tepat dan diambil di luar konteks sebenar perbincangan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, petikan kenyataan Chin Tong yang tersebar di media dan media sosial mencetuskan kekeliruan serta kebimbangan orang ramai bahawa kerajaan berhasrat mengehadkan subsidi petrol BUDI95 dalam masa terdekat.
Isu itu timbul ketika kerajaan sedang meneliti langkah rasionalisasi subsidi bahan api bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang memerlukan.
Setakat ini, kerajaan menegaskan bahawa belum ada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat berkaitan had liter subsidi petrol di bawah skim BUDI95.
Jelas beliau, perbincangan tersebut sebenarnya berkisar mengenai strategi kerajaan menangani krisis tenaga, khususnya keperluan memastikan bekalan petrol negara mencukupi untuk tempoh jangka panjang. – Firdaus Azil / Astro AWANI
