Kategori
Ringkas

Apabila Agama Dihina, Berdiam Diri Bukan Pilihan – Sultan Pahang

MARAN, 3 Mac – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal atas insiden yang dilihat sengaja menggugat keharmonian negara dan negeri.

Baginda menegaskan kekesalan itu termasuk isu terbaharu yang melibatkan seorang mahasiswa daripada sebuah universiti awam di Pahang yang didakwa mencemarkan al-Quran.

“Perbuatan tersebut bukan sahaja suatu tindakan yang amat biadab, malah penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta mencabar asas keharmonian masyarakat yang dibina atas prinsip saling menghormati,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah berdiam diri bukanlah suatu pilihan apabila agama dihina.

“Diam dalam keadaan sedemikian mencerminkan lemahnya jiwa dan pudarnya rasa tanggungjawab terhadap maruah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Masjid Baharu Felda Jengka 19 dan memasyhurkannya dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Felda Jengka 19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agama Islam menuntut ketegasan dalam lingkungan keadilan, namun umat Islam tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku dan tidak boleh membalas juga dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan.

Baginda turut mengingatkan umat Islam agar terus mempertahankan agama dengan tegas dan pada masa yang sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.

“Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, saya menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam hendaklah ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang. Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama,” titah baginda.

Sultan Pahang turut menyeru seluruh rakyat beragama Islam di negeri ini agar kembali kepada al-Quran seperti membacanya, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen