Categories
Ringkas

Kes Zahid Hamidi: AGC Sahkan Keterangan Tidak Mencukupi, Tiada Tindakan Lanjut

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan bahawa keterangan sedia ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap keterangan baharu hasil siasatan lanjut dan terperinci yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada kesemua pertuduhan tersebut.

“Hasil penilaian keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperoleh, Jabatan ini mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

“Menurut AGC, siasatan lanjut itu merangkumi penelitian terhadap sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana Yayasan Akalbudi, termasuk isu-isu yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan selepas Ahmad Zahid dipanggil membela diri,” menurut kenyataan itu.

AGC menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira skop dan fokus siasatan pada peringkat awal, penilaian dalaman pendakwaan berkaitan kecukupan keterangan, serta dapatan siasatan lanjut SPRM yang meliputi keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran sumbangan dana ke dalam yayasan itu.

Sehubungan itu, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut atau ‘No Further Action’ akan diambil, sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.

AGC turut menegaskan keputusan tersebut dibuat berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta ketelusan sistem keadilan jenayah negara. – Astro AWANI / Yasmin Natasha

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading