Kategori
Ringkas

Polis Tahan Tiga Pelajar, Seorang Bekas Pelajar Disyaki Merogol

Polis menahan seorang bekas pelajar dan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah di Baling yang disyaki terlibat dalam kes rogol bawah umur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling DSP Ahmad Salimi Md Ali berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu daripada waris mangsa yang berusia 53 tahun pada 8.11 malam, Ahad lepas.

“Pada 11 pagi hari yang sama, pengadu telah dimaklumkan oleh guru disiplin sekolah berkenaan mengenai penularan satu rakaman bogel.

“Polis menahan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar bagi membantu siasatan. Hasil siasatan lanjut mendapati, kesemua suspek melakukan hubungan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lepas di beberapa lokasi termasuk di dalam kelas sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek terlibat menyimpan dan menyebarkan bahan lucah yang tular berkenaan dan polis telah merampas enam telefon bimbit suspek.

“Permohonan reman terhadap empat suspek telah dibenarkan selama lima hari dari tarikh ditangkap (12 Okt) bagi siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen rogol berkumpulan dan menghantar pornogafi kanak-kanak.

“Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai, terutamanya ibu bapa dan penjaga untuk memantau kegiatan dan pergerakan anak-anak, khususnya dalam kalangan remaja,” katanya. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen