Categories
Politik

Pahang Ikut Jejak Kerajaan Pusat Bentuk Kerajaan Negeri?

KUANTAN, 25 Nov – Sudah enam hari berlalunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), status kerajaan negeri Pahang yang tergantung masih menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Barisan Nasional (BN) negeri Pahang berkait hasil rundingan yang difahamkan sudah diadakan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) negeri ini.

Meskipun besar kemungkinan berlakunya gabungan untuk membentuk kerajaan negeri, persoalan ketika ini adalah antara pihak mana, sama ada BN dan PH atau BN dan PN?

Berdasarkan kenyataan media dikeluarkan PH dan PN Pahang, masing-masing optimis dengan hasil rundingan itu, namun jawapannya kini berada pada Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Biarpun PN menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kelebihan satu kerusi berbanding BN 16 kerusi, angka itu tidak mencukupi bagi kedua-dua pihak mendapat majoriti mudah.

Bagaimanapun, usai pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada Khamis memungkinkan kerajaan perpaduan bakal terbentuk seakan-akan ada jawapan kepada perkembangan pembentukan kerajaan negeri Pahang yang baharu.

Besar kemungkinan Pahang akan mengikuti jejak kerajaan Persekutuan sepertimana andaian Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar sebelum ini.

Ketika ini Wan Rosdy sudah berada di Pahang dan beliau kelihatan bersama calon BN bagi DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada hari penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin pada Khamis.

Kemungkinan akan ada kenyataan dikeluarkan dalam masa terdekat dan pihak media sedang mengikuti rapat perkembangan tersebut. – SINAR HARIAN

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading