Categories
Berita

Vaksinasi Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun Bermula Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Pemberian vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech kepada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun akan bermula pada 2022.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan buat masa ini, hanya vaksin itu yang tersedia bagi kegunaan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan sedang menunggu kelulusan regulatori daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

“Pihak Pfizer juga dijangka mengemukakan data berkaitan pendaftaran penggunaan vaksin untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun pada penghujung tahun ini kepada NPRA (Agensi Regulatori Farmasi Negara) untuk penilaian dan kelulusan pendaftaran,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Menurut kementerian itu, kerajaan kini dalam proses memperoleh vaksin Pfizer BioNTech untuk kegunaan imunisasi bagi golongan itu memandangkan formulasi yang digunakan berbeza daripada populasi dewasa, tertakluk kepada kelulusan NPRA dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Adalah dijangkakan seramai 5.9 juta kanak-kanak akan divaksinasi melibatkan anggaran keperluan kuantiti sebanyak 11.8 juta dos,” menurut kementerian itu.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu sama ada KKM berhasrat memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun serta jangkaan ia dilaksanakan. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading