Kategori
Berita

PRN Melaka: Semua Majlis Rasmi Kerajaan, Swasta Tidak Dibenarkan Dari 4 Hingga 27 November

MELAKA, 8 Nov – Semua majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan diadakan di negeri ini sejak dari 4 November hingga 27 November depan.

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Melaka menerusi kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini semalam memaklumkan selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya turut tidak dibenarkan sejak 25 Oktober hingga 27 November ini.

Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, mesyuarat parti di Melaka dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Menurut MKN, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen