Categories
Berita

Peniaga Restoran Disaran Pamer Harga Dan Penerangan Kepada Pelanggan

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Peniaga restoran disaran supaya mempamerkan harga dan memberi penerangan lebih jelas kepada pelanggan untuk mengelak kekeliruan terutamanya bagi makanan yang melibatkan harga timbang secara gram atau kilogram.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata kebanyakan pelanggan tidak memahami atau kurang jelas mengenai harga yang dipamerkan di restoran terutamanya dalam penjualan barangan basah seperti ikan.

“Kebiasaannya harga barangan basah seperti ikan dijual dalam bentuk gram, namun berat ikan tersebut selalunya boleh mencecah lebih satu kilogram menyebabkan pelanggan keliru dengan harga yang dipaparkan dalam gram, jadi pelanggan perlu mengira sendiri jumlah harga sebenar.

“Sebab itu perlu ada satu tanda harga dan penerangan yang jelas supaya pelanggan faham bagaimana pengiraan harga yang ditetapkan sebelum membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusof berkata komunikasi antara peniaga dan pelanggan juga penting bagi mengelak kekeliruan iaitu peniaga perlu membuat timbangan dan memaklumkan harga ikan terbabit kepada pelanggan.

“Peniaga perlu menimbang barangan basah di hadapan pelanggan dan memaklumkan harga sebelum pelanggan membuat keputusan memesan makanan tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Zuraidah Zainol berkata pengguna kebiasaannya mempunyai tanggapan harga ikan yang ditawarkan oleh penjual di restoran adalah sama seperti di pasar.

Beliau berpendapat pengguna seharusnya membuat persediaan terlebih dahulu mengenai restoran yang hendak dikunjungi agar tidak berlaku perselisihan faham dengan penjual terutamanya mengenai harga makanan.

Baru-baru ini, tular kisah seorang pengguna Facebook yang melahirkan rasa terkejut kerana dikenakan bayaran RM1,196.80 untuk hidangan ikan siakap di sebuah restoran terapung di Langkawi. – BERNAMA

Bernama's avatar

By Bernama

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 ☑
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968. Agensi berita nasional ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading