GEORGETOWN, 30 Sept – Remaja berusia 16 dan 17 tahun termasuk pelajar dibenarkan hadir secara ‘walk-in’ di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bermula Khamis ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sesi ‘walk-in’ harian bermula seawal jam 2 petang di setiap PPV.
Bagaimanapun, katanya, bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun, mereka perlu mengikuti janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dan dinasihatkan untuk tidak ‘walk-in’ di mana-mana PPV bagi mengelakkan sebarang kesesakan berlaku.
“Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sehingga 29 September (Rabu), daripada 37,875 jumlah remaja berusia 16 hingga 17 tahun yang didaftar melalui portal Vaksin Anakku, seramai 32,876 orang atau 86.8 peratus telah menerima suntikan vaksin.
“Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun, daripada jumlah keseluruhan 80,698 orang yang berdaftar menerusi portal sama, seramai 8,312 atau 10.3 peratus telah disuntik,” katanya menerusi kenyataan akhbar pada Khamis.
Menurutnya lagi, bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) peringkat negeri Pulau Pinang, pengoperasian dua PPV iaitu PPV Pusat Konvensyen SPICE (SPICE CC) dan PPV SP Arena telah dilanjutkan kepada jam 9 malam.
Tambahnya, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menambah PPV ‘outreach’ ke sekolah-sekolah atau kawasan-kawasan luar bandar di seluruh Pulau Pinang.
Pada 22 September, Pulau Pinang telah memulakan PICK-Remaja yang mana membabitkan pelajar asrama berusia 16 dan 17 tahun yang beralamat tetap di Pulau Pinang namun mengikuti pengajian di Sekolah Berasrama Penuh di luar negeri itu.
Enam PPV yang telah memulakan proses imunisasi kepada remaja tanpa komorbid ialah Pusat Konvensyen SPICE, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Vangoh Eminent Hotel, Dewan Perda Convention Centre, Dewan Millenium dan Dewan Serba Guna Sungai Bakap. – SINAR HARIAN
