ARAHAN penggunaan pelitup muka di majlis dan aktiviti berkumpulan di kawasan terbuka kini ditarik balik di Argentina.
Menteri Kesihatan, Carla Virzzotti berkata, ia susulan kejayaan menurunkan kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.
Walaubagaimanapun, jelas Carla, penggunaan pelitup muka di kawasan tertutup tetap diwajibkan.
“Pertama, kita menarik semula kewajipan penggunaan pelitup muka di kawasan terbuka dan di kawasan tiada orang awam, tiada penghimpunan orang awam.
“Kewajipan pengunaan pelitup muka akan diteruskan di semua kawasan tertutup,” katanya.
Sementara itu, dewan dan restoran dibenarkan beroperasi dengan kapasiti terhad iaitu 50 peratus dan pengunjung perlu mendapatkan pengesahan bahawa telah lengkap divaksinasi selepas tempoh 14 hari terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki premis.
Jelasnya, bermula 1 Oktober, aktiviti melibatkan perhimpunan lebih 1,000 orang awam dengan kapasiti terhad 50 peratus akan dibenarkan. Ini bermakna stadium akan dibuka semula.
Tambahnya, pengembara yang tiba ke negara itu bagi tujuan pekerjaan tidak perlu melalui proses kuarantin. Untuk rekod, kadar jangkitan COVID-19 di Argentina menurun sehingga 2,000 kes baharu harian yang dicatatkan berbanding 30,000 kes harian yang direkodkan sebelum ini – AGENSI
