Kategori
Berita

Peningkatan Kos Haji, Kerajaan Jamin Tetap Beri Subsidi – Ahmad Marzuk

KOTA BHARU, 18 Sept – Kerajaan memberi jaminan subsidi mengerjakan haji akan dikekalkan meskipun kemungkinan berlaku peningkatan kos di masa hadapan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Bagaimanapun, beliau berkata kos sebenar bagi mengerjakan haji belum diputuskan dan akan dibincangkan yang diharap tidak membebankan bakal haji.

Katanya kemungkinan peningkatan kos agak munasabah berdasarkan situasi semasa, namun percaya subsidi oleh kerajaan akan diteruskan.

“Dulu kos haji kira-kira RM24,000 tetapi kerajaan hanya mengutip sekitar RM9,980 dan selebihnya kerajaan tanggung.

“Sekarang kos meningkat terutamanya pada pasca pandemik (COVID-19) dengan perbelanjaan di luar negara juga meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Baharu Institut Pengajian Tinggi Parlimen Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata kerajaan memperuntukkan antara RM400 juta dan RM500 juta bagi subsidi haji tetapi kini perlu melihat situasi semasa.

“Biasanya bila hampir tiba musim haji akan keluar kos sebenar dan jemaah akan dimaklum lebih awal.

“Kita juga tahu kos haji sejak sekian lama tidak dinaikkan kerana waktu itu berdasarkan kepada kemampuan serta kedudukan kewangan kerajaan. Sekarang situasi ekonomi sudah berubah malah perbelanjaan di Arab Saudi juga meningkat,” katanya. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen