Kategori
Berita

11 Lagi R&R Dan Hentian Sebelah PLUS Dibuka Untuk ‘Dine-in’

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Sebanyak 11 lagi medan selera di pusat Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dibuka semula hari ini.

Menurut PLUS dalam kenyataan hari ini, pembukaan itu susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan pengoperasian pada kapasiti penuh atau 100 peratus berikutan 80 peratus kakitangan dan rakan niaga syarikat itu lengkap vaksinasi.

Lokasi terbabit ialah R&R Tapah (Arah Selatan dan Arah Utara), Rawang (Arah Utara), Dengkil (Arah Selatan dan Arah Utara) dan Pagoh (Arah Selatan).

Sementara itu, R&R Ulu Bernam (Arah Selatan) akan mula beroperasi Isnin ini, manakala R&R Seremban (Arah Selatan dan Arah Utara), Hentian Sebelah Nilai (Arah Utara) dan Serdang (Arah Utara) dijangka dibuka pada Selasa.

Medan selera di Hentian Sebelah Simpang Pulau (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur dan Arah Barat), Sungai Buloh (Arah Selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh sudah mula beroperasi semalam.

“Bagi verifikasi untuk makan di dalam premis, pelanggan yang menerima vaksinasi sepenuhnya dikehendaki menunjukkan status vaksinasi MySejahtera COVID-19 masing-masing ketika memesan makanan di premis yang dikendalikan oleh rakan niaga kami,” menurut kenyataan itu.

Pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksinasi penuh boleh memilih untuk membungkus makanan atau ‘take-away’, selain memesan makanan menggunakan fungsi Pre-Order di aplikasi PLUS atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ bagi meminimumkan kontak fizikal. – BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen