PORT DICKSON, 17 Sept – Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh seminggu lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun, peralihan itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya kes harian COVID-19 di negeri ini menunjukkan penurunan.
“Sekarang kita hanya merekodkan 170 ke 200 lebih kes baharu COVID-19 sehari. Kalau ikut perkiraannya, memang kita sudah layak untuk ke fasa empat, cuma kita diminta untuk memantau selama seminggu lagi.
“Keputusannya bergantung kepada keadaan semasa kes selain mengambil beberapa faktor lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negeri ini untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama selepas beralih ke fasa empat nanti untuk mengelakkan daripada kes COVID-19 kembali meningkat.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, apabila Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 PPN bermula 4 September lalu, sekaligus ia memberi ruang dan peluang kepada banyak sektor seperti ekonomi, pelancongan dan industri dibuka semula mengikut SOP yang ditetapkan.
“Saya berharap, dengan kelonggaran yang diberikan, orang ramai dapat menjaga diri dan keluarga dengan senantiasa memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal ketika berada di tempat yang ramai orang.
“Saya juga yakin Port Dickson juga akan dibuka untuk pelancongan dalam negara sedikit masa lagi,” katanya.
Menurutnya, statistik kedatangan pelancong ke negeri ini tahun lalu mencatatkan penurunan iaitu 1.046 juta berbanding tahun 2019 sebanyak 6.42 juta yang mana Port Dickson menyumbang 70 peratus kedatangan pelancong.
“Ini bermakna seramai 627,000 orang sahaja yang datang ke Port Dickson pada tahun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun lalu.
“Kerajaan negeri menyasarkan graf peningkatan kedatangan pelancong ke Negeri Sembilan terutama Port Dickson pada tahun depan sebanyak 50 peratus berbanding sebelumnya,” katanya. – SINAR HARIAN
