KANGAR, 3 Sept – Guru-guru yang enggan atau masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 tidak dibenarkam terlibat dalam sesi pengajaran serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar di dalam kelas.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat bertujuan untuk memastikan sesi persekolahan selamat bagi pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah menjelang pembukaan semula sekolah bulan depan.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti seramai 2,500 guru di seluruh negara yang didapati masih belum menerima vaksin, setakat ini.
Beliau berkata, KPM telahpun meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) negeri dan daerah berkaitan untuk turun berbincang dan menasihati guru-guru berkenaan akan kebaikan vaksin.
“Pada waktu ini, sekitar 2,500 orang guru masih enggan divaksin. Kita akan mengadakan sesi libat urus bersama mereka untuk menjelaskan mengenai perkara ini. Ada yang tidak dapat divaksin atas masalah kesihatan, tapi yang lain-lain pelbagai alasan diberikan termasuk tidak yakin.
“Apabila sekolah dibuka, mereka (sekiranya belum divaksin) tidak boleh mengajar secara bersemuka dalam kelas dan berinteraksi dengan pelajar,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel selepas sesi libat urus bersama pihak pengurusan sekolah, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah negeri Perlis di sini pada Jumaat.
Radzi berkata, KPM turut akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat bagi melihat tindakan sewajarnya diambil ke atas guru-guru berkenaan.
“Selain itu, ada tugasan menanti dan akan digariskan oleh KPM kepada guru-guru yang masih belum divaksin ini jika tidak dapat mengajar secara bersemuka dengan pelajar-pelajar nanti,” ujarnya.
Sementara itu, tambah Radzi, setakat ini dianggarkan sebanyak 96.7 peratus guru di seluruh negara telah menerima dos pertama manakala 85.2 peratus telah lengkap dua dos vaksin.
“Bagi sektor perkhidmatan sokongan melibatkan bahagian kebersihan, kantin dan keselamatan di sekolah pula, sebanyak 73.7 peratus telah menerima vaksin lengkap manakala sebanyak 89.3 peratus telah menerima dos pertama,” katanya. – SHARE RANGERS
