Kategori
Berita

Kilang Dibenarkan Jadi PPV Untuk Pekerja Mereka – PM

BERA, 28 Ogos – Semua pemilik kilang terutama yang mempunyai ramai pekerja asing dibenarkan untuk menjadikan kilang mereka sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bertujuan untuk mengelakkan berlakunya kesesakan seperti yang tular di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Menurutnya, perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kilang-kilang yang mempunyai pekerja asing ini mereka perlu jadikan kilang mereka tempat memberikan vaksin, jadi pekerja asing tak perlu keluar, beratur dekat stadium atau mana-mana.

“Kita takut melihat situasi yang berlaku di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini… sediakan tempat vaksin di kilang, jadi mereka tak payah keluar.” katanya.

Ismail Sabri turut mencadangkan agar kilang-kilang membeli vaksin sendiri bagi mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan pekerja mereka. Ini kerana, jika 80 peratus pekerja mereka sudah lengkap menerima dua dos vaksin, kilang tersebut dibenarkan beroperasi.

“Saya percaya harga vaksin tidaklah terlalu mahal berbanding kerugian dialami kilang jika terus ditutup. Mereka boleh membeli vaksin dan jadikan kilang sebagai tempat pemberian vaksinasi dan ini lebih baik,” ujarnya ketika ditemui media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang pada Sabtu.

Sementara itu, beliau turut meminta Dr Noor Hisham supaya memperbanyakkan PPV pandu lalu, mengambil kira kaedah berkenaan lebih mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan selain penerima vaksin tidak perlu beratur bersama individu lain. – SHARE RANGERS

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen