Categories
Berita

Vaksin COVID-19: 1.4 Juta Individu Diminta Untuk Lengkapkan Maklumat Menerusi MySejahtera

PUTRAJAYA, 15 Mac – Seramai 1.4 juta individu yang telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melalui aplikasi MySejahtera diminta untuk melengkapkan semula pendaftaran masing-masing.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin berkata, perkara tersebut penting bagi memudahkan urusan terutamanya dalam membuat janji temu melibatkan pusat pemberian vaksin yang berdekatan.

Menurutnya, aplikasi MySejahtera akan berdepan dengan kesukaran untuk melakukan janji temu kerana gagal melengkapkan data seperti menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat terkini masing-masing.

“Kami difahamkan, mereka hanya mengesahkan nama dan nombor kad pengenalan tetapi tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat masing-masing, menyebabkan pendaftaran mereka tidak lengkap.

“Alamat ini penting dimasukkan kerana kita akan beri temujanji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran dengan alamat yang dimasukkan semasa pendaftaran. Kita tidak ambil alamat pada kad pengenalan kerana ramai yang tidak duduk di alamat seperti dalam kad pengenalan,” katanya pada sidang media mingguan PICK hari ini, di sini.

Menurutnya lagi, pihaknya turut akan menghantar peringatan kepada kumpulan tersebut melalui sistem pesanan ringkas (SMS) mulai petang ini.

“Kita telah minta MySejahtera untuk kesan mereka yang gagal melengkapkan maklumat seperti yang dikehendaki dalam aplikasi itu dan menghantar SMS sebagai peringatan agar mereka mengemas kini maklumat masing-masing bermula petang ini.

“Kami berharap agar mereka yang masih belum berbuat demikian untuk terus melengkapkan maklumat berkenaan bagi memudahkan proses pada masa akan datang,” ujarnya. – SHARE RANGERS

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading