Kategori
Berita

Kerajaan Fail Rayuan Keputusan Kes Kalimah ALLAH

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Kementerian Dalam Negeri bersama-sama Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Salinan notis itu turut diberikan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan dan firma peguam yang mewakili wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan rayuan itu. Dalam notis rayuan yang difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ia menyatakan rayuan itu dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin pada 10 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Kalimah Allah: Terlalu Awal Untuk Ulas, Perbincangan Dalaman Diperlukan – Zulkifli

“Perayu (Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia) merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan tersebut,” kata notis itu.

Hakim Nor Bee sebelum ini mendengar kes itu semasa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Kini beliau adalah Hakim Mahkamah Rayuan. Dalam keputusannya, Nor Bee memutuskan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat. Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. – BERNAMA

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen