Kategori
Berita

Ordinan Kekang Berita Palsu Mudahkan Kerja Polis – Ketua Polis Negara

IPOH, 12 Mac – Perwartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 bagi mengekang berita tidak benar berhubung COVID-19 atau proklamasi darurat yang berkuat kuasa hari ini memudahkan polis mengambil tindakan terhadap pesalah tanpa perlu menunggu perintah untuk siasat (OTI) daripada Pejabat Pendakwa Raya (DPPO).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ini membolehkan tindakan pantas diambil bagi menangani ancaman berita tidak benar, selain lebih memudahkan siasatan lengkap dikendalikan. Menurutnya, penyebaran berita palsu hingga mencetuskan ketidaksenangan hati satu pihak, kegemparan umum atau menimbulkan kegusaran akan diambil tindakan.

“Ordinan inilah yang memberi kepada pihak polis kuasa tersebut. Selama ini orang ramai seolah-olah marah kepada pihak polis kononnya tidak mengambil tindakan, lambat mengambil tindakan terhadap berita palsu yang ditularkan.

“Bukan kami lambat, kami ambil tindakan tetapi oleh kerana kekangan undang-undang ketika itu untuk mendapatkan OTI bukan dalam masa lima minit tetapi makan masa hingga seminggu.

“Jadi sekiranya dibiarkan berlarutan selama satu minggu ia telah cetuskan, membakar semangat orang yang akhirnya boleh mencetuskan perbalahan fizikal akibat penyebaran berita palsu jika tidak ditangani dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ no 18 Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, golongan yang sering mempromosikan idea-idea yang bersifat ekstrem dan pemikiran sempit melibatkan politik, agama dan kaum perlu berasa gusar terhadap perwartaan ordinan tersebut

Kerajaan telah memperkenalkan undang-undang baharu dibawah Perwartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yana mana ia memperuntukkan denda sehingga RM100,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu yang didapati bersalah menghasil, menyiar atau menyebarkan berita palsu bermula hari ini.

Bagi kesalahan yang berteruskan, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 pada setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

“Orang ini patut rasa cuak dengan adanya ordinan ini dan polis sentiasa memainkan peranan memantau 24 jam apa yang dihidangkan dalam media sosial mengesan perkara yang kita kategorikan sebagai berita palsu.

“Kita nilaikan sesuatu berita sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, kita sendiri akan buat laporan untuk diambil tindakan. Kita tidak tunggu orang awam untuk buat laporan polis,” katanya.

Melalui tafsiran ordinan tersebut, ‘berita tidak benar’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu berhubung COVID-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea. – SINAR HARIAN

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen