Kategori
Berita

Mulai Hari Ini, Kompaun RM10,000 Akan Dikenakan Jika Langgar SOP

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Mulai hari ini, individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM10,000 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bekata, langkah itu diambil berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi.

“Notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP namun, ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan.

“Keputusan menaikkan nilai kompaun itu bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

“Tetapi ia semata-mata untuk sedarkan orang ramai bahawa virus ini masih berada di mana-mana sekiranya kita lupa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, bagaimanapun individu yang dikenakan kompaun boleh memohon rayuan kepada PKD untuk dipertimbangkan jumlah bayaran mengikut budi bicara.

“Pegawai polis akan menawarkan kompaun, mereka akan menulis notis kompaun bernilai RM10,000 dan dalam tempoh dua minggu, pesalah perlu membayar kompaun berkenaan.

“Namun pesalah boleh membuat permohonan rayuan, ia bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetapkan jumlah sebenar nilai kompaun berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, kompaun maksimum RM10,000 itu hanya dikenakan kepada kesalahan yang berulang dilakukan.

“Kita akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem yang dibangunkan,” katanya.

Katanya, pesalah ini meliputi individu yang tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal, premis gagal menyediakan pengimbas suhu badan, cecair pembasmi kuman, bersesak dalam premis tanpa kawalan dan hiburan tanpa lesen.

“Sebagaimana saya sarankan sebelum ini, sasaran nilai tinggi adalah mereka yang pesalah degil dan kesalahan berulang. Nama mereka dah masuk dalam sistem tersebut.

“Inilah patut dikenakan denda tinggi tak semestinya RM10,000 dan ini bergantung budi bicara pegawai yang mengenakan kompaun,” katanya lagi.

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen