PUTRAJAYA, 2 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sebelum ini dilaksanakan di empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang kini bertukar statusnya kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mac ini.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak pula ia masih kekal statusnya sebagai negeri PKPB.
Tambahnya lagi, enam negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status daripada PKPB kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan Perlis kekal berstatus PKPP.
“Enam negeri PKPB termasuk Pahang, Melaka, Terengganu, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan ditukar status kepada negeri PKPP.
“Pelaksanaan PKPB dan PKPP ini bermula 5 Mac sehingga 18 Mac ini kecuali negeri Sarawak iaitu pada 2 Mac sehingga 15 Mac,” katanya pada Sidang Media Harian PKP 2.0 secara langsung pada Selasa.
Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa kes COVID-19 menunjukkan trend penurunan dengan kadar kebolehjangkitan yang menurun daripada 1.2 kepada 0.8 peratus. – SHARE RANGERS
