IBU kepada pengacara terkenal, Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed mengambil keputusan untuk membatalkan pemohonan cap dagangan bagi nama produk makanan ‘Harimau Menangis’. Perkara itu diumumkan sendiri olehnya melalui satu sidang media pada Khamis.
“Saya memohon maaf dan sedar akan kekhilafan terjadi dan berharap keputusan yang saya buat hari ini dapat menjelaskan dan meredakan keadaan. Saya membuat keputusan untuk membatalkan permohonan ‘trademark’ nama Harimau Menangis dengan secepat mungkin.
“Tujuan asal saya memohon trademark ini adalah hanya untuk melindungi jenama perniagaan saya dan juga ejen jualan kami daripada masalah produk tiruan,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Noor Kartini berkata, sesungguhnya dirinya tiada niat untuk tutup pintu rezeki sesiapa dan percaya rezeki kita masing-masing datang daripada Allah SWT. Beliau juga berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan isu ini dan tidak berpanjangan.
Terdahulu tular di media sosial apabila usahawan itu mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ bagi produk keluarannya sudah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama tersebut.
Lantaran itu, dakwaan usahawan itu dilontarkan dengan kecaman netizen yang rata-rata menyifatkan tindakan seperti itu adalah keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging ‘Harimau Menangis’ dalam produk mereka.
Walaubagaimanapun, Ketua Pengarah MyIPO Datuk Mohd Roslan Mahayudin menjelaskan bahawa permohonan cap dagang bagi jenama ‘Harimau Menangis’ masih di peringkat pemeriksaan.
“Jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan belum menjadi hak eksklusif beliau.
“Sehubungan itu, Noor Kartini diminta tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau,” katanya.
Mohd Roslan turut menyatakan bahawa permohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lalu. – SHARE RANGERS
