KUALA LUMPUR, 2 Mac – Melalui Ordinan Darurat, perbuatan menghasut orang ramai supaya menolak daripada mengambil vaksin COVID-19 adalah satu kesalahan.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tindakan sedemikian boleh dianggap mendatangkan khianat awam dengan niat untuk menakut-nakutkan orang ramai.
“Semalam, saya difahamkan polis sudah membuat kenyataan. Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara sudah membuat kenyataan bahawa ia satu kesalahan yang boleh diambil tindakan.
“Jadi, melalui Ordinan Darurat yang dipinda, tindakan segera boleh diambil terhadap mereka,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, meskipun terdapat pihak yang mendakwa kerajaan gagal menangani wabak pandemik COVID-19 ini, ketahuilah bahawa Malaysia sebenarnya sedang menuju ke arah kejayaan jika nak dibandingkan dengan negara maju lain.
Katanya lagi, menurut laporan Lowly Institute, badan pemikir berpusat di Australia, Malaysia kini berada di tangga ke-16 daripada 98 negara lain dan memegang skor sebanyak 70.1 peratus.
“Amerika Syarikat (AS) berada di kedudukan 94 dengan 17.3 peratus, Perancis di kedudukan ke-73, United Kingdom (66) Jepun (45) dan Korea Selatan (22).
“Lebih membanggakan apabila kita berjaya mengawal kadar kematian. Ini terbukti apabila kadar kematian di negara masih rendah iaitu sekitar 0.38 peratus manakala kes sembuh 90.9 peratus,” katanya.
Beliau berkata, data KKM turut menunjukkan kes sembuh mengatasi kes baharu harian dan ia perkhabaran baik yang dinantikan rakyat. – BERITA HARIAN
