KUALA LUMPUR, 17 Dis – Kementerian Kewangan hari ini dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang yang mana menghubungkan di antara tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri tersebut, akan diteruskan.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kerajaan telah meluluskan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang (Penang Port) bagi mengambil alih perkhidmatan itu.
“Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan akan dibayar secara dua ansuran tahunan yang mana RM15 juta untuk 2021 akan dibayar pada 2021 sebagaimana diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.
“Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengajukan pertanyaan pada sesi penggulungan RUU Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19) 2020.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat untuk meneruskan lagi perkhidmatan feri tersebut. Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata bahawa perkhidmatan feri ikonik yang melambangkan identiti Pulau Pinang sejak sekian lama itu haruslah dikekalkan.
Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah memaklumkan kepada Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) bahawa perkhidmatan feri tersebut perlu diteruskan.
“Ketika SPPP dan PPSB menjelaskan kepada Kerajaan Negeri mengenai cadangan mereka untuk menggantikan feri dengan katamaran, kita (Kerajaan Negeri) beritahu mereka agar bawa perkara ini kepada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan meminta pihak kementerian mempertimbang serta kaji semula keputusan itu.
“Saya telah bangkitkan perkara ini sekali lagi di Parlimen dan mendesak pihak kementerian untuk mempertimbangkan semula permintaan Kerajaan Negeri sepertimana dinyatakan kepada PPSB dan SPPP sebelum ini. Saya percaya bahawa banyak penumpang meminta agar pihak kementerian meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang ini,” katanya melalui sidang media di Komtar sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan bahawa perkhimatan feri Pulau Pinang akan dihentikan bermula 1 Januari 2021 dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya akan membawa pejalan kaki, penunggan basikal serta motosikal. – SHARE RANGERS
