Kategori
Berita

Sambutlah Deepavali Dengan Meriah, Pastikan Ikut SOP – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Meskipun negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19, perayaan Deepavali yang diraikan penganut hindu di negara ini tetap diraikan esok dengan meriah. Walaubagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin amat berharap segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dapat dipatuhi dengan baik.

Perdana Menteri turut mengajak seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira agama atau bangsa saling hormat-menghormati serta menghargai kepelbagaian yang terdapat dalam negara, sambil berkongsi kemeriahan perayaan Deepavali yang disambut oleh masyarakat Malaysia yang menganut agama Hindu.

“Rakyat Malaysia bertuah kerana negara kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Setiap kaum mempunyai budaya, tradisi dan adat resam masing-masing yang menjadi sumber kekuatan kita sebagai sebuah negara majmuk yang aman, harmoni dan bersatu padu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Deepavali 2020 yang disiarkan di laman Facebook rasminya hari ini. Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum agar berganding bahu menghadapi cabaran getir yang sedang dihadapi negara pada masa ini.

“Pelbagai cabaran getir yang sedang kita hadapi pada masa ini. Bersama-samalah kita berganding bahu, bersatu-padu dengan semangat yang cekal dan tabah untuk masa hadapan Malaysia yang lebih cerah buat kita semua,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan penganut Hindu yang meraikan perayaan itu, agar tidak bersalaman termasuk melaga-laga mana-mana tubuh badan, berhimpun serta sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Sambutan Deepavali tahun ini agak berbeza kerana ia berlangsung ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19. Kes-kes harian yang dicatatkan pada masa ini agak tinggi sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Peritah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) (di beberapa negeri) bagi mengawal dan mengekang penularan wabak ini di dalam komuniti kita,” katanya.

Perdana Menteri amat berharap agar masyarakat beragama Hindu akan tetap meraikan perayaan Deepavali dengan meriah di rumah bersama anggota keluarga masing-masing sambil mematuhi segala garis panduan atau SOP yang telah ditetapkan.

“Elakkan bersalaman ataupun berhimpun dan amalkanlah penjarakan fizikal untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” katanya lagi. – BERNAMA

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen