KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kerajaan hari ini telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan semula di beberapa negeri di semenanjung kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan SOP PKPB kali ini adalah termaktub kepada SOP yang telah dikenakan PKPB sebelum ini iaitu di Selangor, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Berikut merupakan ringkasan perincian mengenai SOP dan soalan lazim (faq):
• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada PDRM.
• Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.
• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup.
• Aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.
• Semua aktiviti sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.
• Semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.
• Restoran/kedai makan secara dine-indihadkan 2-4 orang satu meja dengan SOP premis makanan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara take away/delivery/drive thru.
• Pasar harian dibuka jam 6.00 pagi – 2.00 petang, Pasar Borong 4.00 pagi – 2.00 petang, Pasar Tani 6.00 pagi – 12.00 tengah hari.
• Operasi pasar malam adalah bermula 4.00 petang sehingga 10.00 malam dengan pematuhan SOP yang ketat dan dengan pengawasan anggota RELA.
• Operasi stesen minyak bermula daripada 6.00 pagi hingga 10.00 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam).
• Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing (maksimum dua penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
• Kenderaan bawa pekerja boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.
• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.
• Waktu operasi klinik, hospital kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam manakala farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8.00 pagi sehingga 11.00 malam.
Soalan Lazim (FAQ):
Kenapa PKPB dilaksanakan?
Pelaksanaan ini terpaksa dilakukan susulan kes COVID-19 yang semakin meningkat di sesebuah kawasan dan seperti kita tahu, di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kesnya meningkat.
PKPB terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan virus tersebut agar ia tidak terus merebak ke tempat lain meskipun tidak banyak zon merah dalam negeri berkenaan.
Adakah keluar rumah dibenarkan?
Boleh namun hanya dua orang dari setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk memberi barang keperluan. Bagi mereka yang mahu keluar bekerja, mereka dibenarkan berbuat demikian namun perlu mempunyai surat kebenaran daripada majikan.
Bolehkah balik kampung?
Kalau kampung dalam satu daerah, dibenarkan kerana tidak merentas daerah. Perjalanan rentas daerah tidak dibenarkan. Polis akan membuat sekatan jalan untuk mengawal pergerakan penduduk. Di Selangor, misalnya, terdapat sembilan daerah – iaitu Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.Anda harus kekal berada di daerah anda.
Bagaimana jika saya perlu bekerja di daerah lain?
Pengecualian ada untuk anda yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah untuk bekerja. Syaratnya, menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan di sekatan jalan raya.
Bolehkah saya pergi bekerja?
Boleh, kerana sektor perniagaan dibenarkan untuk beroperasi. Sekali lagi diingatkan, bawa surat kebenaran daripada majikan bersama anda bagi memudahkan urusan.
Boleh makan di restoran?
Sekiranya melihat PKPB sebelum ini, tidak dibenarkan makan di restoran, hanya bungkus dan bawa pulang. Penghantaran makanan juga dibenarkan dalam tempoh ini.
Bolehkah hantar anak ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak?
Tidak. Semua sekolah, kolej, universiti, institut latihan dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup.
Sekatan masa dikenakan untuk melakukan perjalanan dan operasi perniagaan?
Ya. Perincian akan diumumkan tidak lama lagi.
Bolehkah saya beriadah di taman?
Tidak. Semua taman awam dan pusat rekreasi akan ditutup.Anda juga tidak dibenarkan keluar untuk aktiviti rekreasi seperti bersenam atau menunggang basikal.
Bolehkah saya karaoke?
Tidak, semua pusat hiburan diarahkan untuk tutup sepanjang tempoh PKPB.
Bagaimana dengan majlis perkahwinan?
Majlis perkahwinan tidak dibenarkan.
Tempat ibadat?
Semua tempat ibadat – Muslim dan bukan Muslim – akan ditutup. Muslim – (ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.)
Bagaimana jika saya langgar arahan itu?
Pelanggaran PKPB adalah satu kesalahan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dikenakan denda RM1,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.Jika anda menghalang penjawat awam yang melaksanakan PKPB, anda boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau didenda hingga RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Untuk perincian yang lebih lanjut, anda boleh melayari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan info-info berkaitan yang lebih jelas.
