KUALA LUMPUR, 6 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjelaskan sepenuhnya denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya, menurut peguamnya, Farhan Muhammad Shafee.
Pembayaran tersebut dibuat di kaunter hasil dan deposit Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memenuhi syarat berkaitan pelaksanaan baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Farhan mengesahkan urusan berkenaan selesai sekitar jam 1 tengah hari ketika ditemui di mahkamah.
“Ya, sedang selesai proses,” katanya ringkas.
Sebelum pembayaran dimuktamadkan, seorang pemimpin UMNO dilihat hadir membawa sebuah beg hitam berkunci ke kaunter berkenaan.
Resit rasmi kemudiannya dikeluarkan dan dipercayai akan dikemukakan kepada Jabatan Penjara Malaysia sebagai sebahagian daripada urusan pelaksanaan perintah tahanan rumah.
Perkembangan itu menyusul selepas timbul spekulasi sejak Selasa lalu bahawa Najib akan melunaskan denda tersebut bagi membolehkannya menjalani baki hukuman di kediamannya.
Bagaimanapun, peguam utama beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini berkata pihaknya belum menerima arahan daripada Najib untuk membuat pembayaran berkenaan.
Beliau juga ketika itu tidak dapat memastikan sama ada urusan tersebut akan diselesaikan dalam tempoh minggu berkenaan.
Pada Oktober lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman memaklumkan bahawa Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan penerangan lanjut kepada Najib mengenai kaedah pelaksanaan tahanan rumah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pula pada 19 September lalu berkata, pihak penjara dijangka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan tersebut. Muhammad Shafee sebelum ini turut mengesahkan kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta sebagai lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen diperoleh.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Beliau turut mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama. – Sinar Harian
