Categories
Ringkas

Da’i Syed Menangis Selepas Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Tuduhan Merogol

PUTRAJAYA, 4 Nov – Pendakwah selebriti, Da’i Syed dilihat tidak dapat menahan sebak selepas Mahkamah Rayuan memutuskan beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu, pada Rabu.

Keputusan majoriti dua daripada tiga hakim itu turut membatalkan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Panel berkenaan dipengerusikan Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid. Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid pula menyatakan pendapat berbeza.

Dalam penghakiman, Azman berkata pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat. Rayuan perayu dibenarkan dan hukuman pemenjaraan 10 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.

Da’i Syed, atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, menangis ketika keputusan itu dibacakan di mahkamah.

Isterinya, Hana, yang mengikuti prosiding dari galeri awam turut dilihat mengalirkan air mata dan meraup muka sejurus mendengar keputusan berkenaan.

Terdahulu, pendakwah itu berdepan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan selepas disabitkan atas pertuduhan berkenaan.

Kes itu bermula apabila Syed Shah Iqmal didakwa pada 10 Disember 2020 atas dakwaan merogol seorang wanita berusia 23 tahun.

Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah kondominium di Seksyen 7, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – Noor Azlida Alimin / Sinar Harian

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan