Categories
Ringkas

Najib Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Rumah Hingga Ogos 2028

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selepas mendapat perkenan pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Kebenaran itu bagaimanapun disertai syarat pembayaran denda berjumlah RM50 juta, selain kewajipan mematuhi segala ketetapan yang dikenakan sepanjang tempoh tahanan di rumah.

Keputusan berkenaan dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Dalam kenyataan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan kegagalan Najib mematuhi mana-mana syarat akan menyebabkan pengampunan itu terbatal.

“Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ke-63, 11 September lalu, untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat berikutnya.

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan sebelum ini memutuskan pengurangan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib mula dipenjarakan pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadapnya berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Dengan keputusan terkini itu, beliau dibenarkan menghabiskan baki tempoh hukumannya di rumah, tertakluk kepada syarat pengampunan yang ditetapkan. – Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading