Categories
Ringkas

Johor Henti Operasi Network School, Lesen Perniagaan Dibatalkan

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd atau Network School di Forest City, selain mengarahkan semua aktivitinya dihentikan bermula 22 Julai ini.

Keputusan tersebut diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membuat ketetapan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau memaklumkan tindakan itu dibuat selepas pihak berkuasa meneliti laporan pemeriksaan, hasil penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh syarikat berkenaan.

Menurutnya, proses penguatkuasaan hanya dilaksanakan selepas aduan disahkan, pemeriksaan selesai dijalankan dan ketidakpatuhan dikenal pasti mengikut prosedur undang-undang.

“Sesebuah premis yang telah lama beroperasi tidak bermaksud semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen.

“Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mempertingkat kerjasama serta penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang pelanggaran syarat oleh syarikat asing dapat dikesan dan ditangani dengan lebih berkesan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Johor terus membuka ruang kepada pelaburan berkualiti yang mampu merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada pembangunan negeri.

Namun, katanya, semua pelabur dan organisasi tetap tertakluk kepada undang-undang negara tanpa sebarang pengecualian.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya. – Astro AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Tinggalkan Balasan

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading