BILIONAIR, Elon Musk, berkata dia akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter selepas mencari penggantinya.
“Saya meletakkan jawatan sebagai CEO Twitter sebaik saja saya mendapati seseorang yang cukup bodoh untuk mengambil tugas itu!
“Selepas itu, saya hanya akan menjalankan pasukan perisian dan pasukan ‘server’,” ciapnya di Twitter.
Sebelum ini, majoriti pengundi Twitter mahu Musk berundur daripada terus menyandang jawatan CEO platform media sosial itu.
‘Suara’ pengguna itu dizahirkan menerusi undian mereka di tinjauan pendapat yang dilakukan Musk sebelum ini.
Berdasarkan hasil undian, 57.5 peratus iaitu lebih 17 juta akaun mahu Musk berundur.
Musk mengambil alih Twitter sejak 27 Oktober lalu dan berulang kali menimbulkan kontroversi sejak menjadi CEO.
Antaranya, memecat separuh daripada kakitangan, menerima semula tokoh paling kanan ke platform, menyekat akaun wartawan dan cuba mengenakan bayaran untuk perkhidmatan percuma sebelum ini.
Dalam perbincangan dengan pengguna selepas menyiarkan tinjauan pendapat terbarunya, Musk memberi amaran yang platform itu mungkin menuju ke arah muflis.
Menggunakan ciri pengundian Twitter sudah menjadi strategi kegemaran Musk untuk meneruskan keputusan, termasuk pengembalian semula akaun bekas presiden, Donald Trump. – REUTERS
