Kategori
Berita

Majlis Pemulihan Negara Dibatalkan, GIACC Diteliti – PM Anwar

PUTRAJAYA, 21 Dis – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan dibatalkan penubuhannya kerana ia adalah antara satu badan yang berlaku pertindihan, dan merupakan jawatan yang diletakkan bagi memenuhi keperluan ketika itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya cadangan untuk membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) pula akan diteliti, kerana dilihat berlaku pertindihan tugas.

Beliau berkata sekiranya bidang itu (GIACC) boleh dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) maka badan-badan yang berlaku pertindihan perlu dikurangkan kerana setiap agensi yang bertindih itu menanggung kos yang tinggi.

“Yang penting dalam Pusat Governans (GIACC), prinsipnya itu diterima tapi tidak boleh terlalu banyak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

MPN ditubuhkan pada 21 Julai 2021 oleh mesyuarat jemaah menteri melalui memorandum jemaah menteri daripada Kementerian Kewangan bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik pengerusi MPN pada September 2021 oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memandangkan beliau menjawat jawatan berkenaan sejak MPN diwujudkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

GIACC pula ditubuhkan pada Jun 2018 yang bertujuan untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan anti-rasuah dalam negara.

Anwar berkata beliau juga banyak melepaskan tugas selaku Perdana Menteri supaya dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

— BERNAMA

Bernama's avatar

Oleh Bernama

( Verified ☑ ) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau ringkasnya BERNAMA, ialah sebuah badan berkanun & agensi berita terbaik di Malaysia, ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 26 Mei 1968.

Tinggalkan komen