Categories
Berita

Tiga Remaja Maut Kereta Terbabas Rempuh Pembahagi Jalan

SUNGAI PETANI, 20 Dis – Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah setelah kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar-Butterworth, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti adalah pemandu kereta Muhammad Aiman Rusdi, 17, serta dua rakannya Muhammad Izani Mohd Tuah, 15, dan Muhammad Iman Mohd Akhir, 17, manakala seorang lagi yang parah Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, sementara Alif Danial Abdul Aziz, 15, pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda EG yang dipandu Muhammad Aiman dari arah Bakar Arang menghala ke Padang Tenusu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke seberang kiri jalan.

“Kenderaan itu dipercayai dipandu laju telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi kiri jalan. Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan serta belakang maut serta-merta di tempat kejadian.

“Seorang penumpang di bahagian belakang cedera parah dan kini dirawat di HSAH, manakala seorang lagi hanya cedera ringan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. – ASTRO AWANI

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

𝗩𝗲𝗿𝗶𝗳𝗶𝗲𝗱 𝗔𝘂𝘁𝗵𝗼𝗿 ☑
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori “Ringkas” - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading