Kategori
Berita

Pendaftaran Secara ‘Walk-in’ Suntikan Dos Penggalak Bermula 22 November Ini

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Individu yang layak menerima suntikan dos penggalak (booster shot) kini boleh membuat pendaftaran secara ‘walk-in‘.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pendaftaran nama dalam senarai menunggu (waiting list) secara ‘walk-in‘ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara bermula 22 November 2021.

Pendaftaran secara ‘walk-in‘ ini akan dilaksanakan bagi:

  • Individu yang layak pemberian dos penggalak;
  • Individu yang ingin mendapatkan suntikan secara lebih awal sebelum janji temu;
  • Individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin COVID-19;
  • Individu yang terlepas janji temu vaksin; dan
  • Remaja berusia antara 12-17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi

Walau bagaimanapun buat masa ini, keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada:

  1. Petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan;
  2. Individu berusia 40 tahun dan ke atas;
  3. Individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi;
  4. Penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang;
  5. Ibu mengandung; dan
  6. Keperluan ke luar negara

Menerusi pendekatan ini, CITF-B percaya ia akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak untuk secara sukarela menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama.

“Mereka yang telah berjaya mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta terbabit sekiranya ada pembatalan janji temu atau no show oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin dalam MySejahtera.

“Pendekatan seumpama ini juga akan membantu Kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optima,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain pendaftaran secara walk-in ke PPV fasiliti kesihatan swasta, pendaftaran juga boleh dilakukan melalui telefon dan emel. Orang ramai boleh merujuk dan menghubungi senarai PPV yang menyediakan perkhidmatan walkin/telefon/email untuk daftar temujanji ini melalui www.protecthealth.com.my bermula 22 November 2021.

Sehingga kini, lebih satu juta dos penggalak telah diberikan kepada mereka yang layak di seluruh negara dan Kerajaan kini dalam usaha untuk meningkatkan usaha pemberian dos penggalak bagi memastikan tempoh perlindungan yang optima dapat dicapai. – SHARE RANGERS

Wartawan Share Rangers's avatar

Oleh Wartawan Share Rangers

( Verified Author ☑ ) Merupakan seorang Pengasas kepada Share Rangers. Idea telah diilhamkan daripada satu page Facebook yang bernama 'Bawang Rangers'. Impian admin adalah memastikan portal Share Rangers kekal relevan untuk dibaca zaman kini.

Tinggalkan komen