PASUKAN perubatan Amerika Syarikat (AS) berjaya memindahkan ginjal khinzir kepada seorang pesakit mati otak bagi tempoh singkat baru-baru ini.
Pakar bedah yang mengetuai prosedur itu menyifatkan pencapaian tersebut sebagai ‘keajaiban berpotensi’.
Pembedahan yang dilakukan pada 25 September itu membabitkan seekor haiwan penderma yang diubah suai secara genetik dan seorang pesakit mati otak yang bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Keluarga pesakit terbabit turut memberi kebenaran untuk pelaksanaan eksperimen selama dua hari itu, demi kemajuan sains.
“Ia melakukan fungsi yang sepatutnya, iaitu menyingkirkan bahan kumuh dan menghasilkan air kencing,” kata Pengarah Transplant Institute di Universiti New York (NYU) Langone, Robert Montgomery, dalam satu wawancara dengan AFP.
Secara kritikal, organ tersebut dapat mengurangkan paras molekul kreatinin, iaitu antara petunjuk utama kesihatan buah pinggang, yang meningkat dalam diri pesakit sebelum pemindahan berkenaan.
Montgomery melakukan pembedahan selama kira-kira dua jam itu bersama beberapa orang lagi pakar. Mereka mencantumkan ginjal itu pada saluran darah di bahagian atas salah satu kaki pesakit terbabit, supaya boleh melakukan pemerhatian dan mengambil sampel biopsi.
Pesakit itu mahu menjadi penderma organ namun keluarga kecewa apabila diberitahu bahawa organnya tidak bersesuaian, kata Montgomery.
“Namun, mereka berasa lega dengan adanya peluang lain untuk menderma seperti ini,” katanya.
Alat bantuan pernafasan pada pesakit itu kemudiannya ditanggalkan dan beliau meninggal dunia selepas eksperimen selama 54 jam berkenaan. – AGENSI
