Categories
Berita

Dakwa Longlai Selepas Divaksin, Pelajar Ini Rupanya Lewat Tidur Malam & Tidak Bersarapan

PUTRAJAYA, 30 Sept – Pelajar yang didakwa longlai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam rakaman video tular didapati lewat tidur malam.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pelajar berkenaan juga tidak bersarapan sebelum ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore Mall, Klebang, Melaka.

“Pelajar lelaki berkenaan tiada sebarang masalah kesihatan tetapi gementar ketika suntikan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dr Noor Azmi berkata demikian sebagai reaksi terhadap rakaman video tersebut.

Menurutnya, keadaan seumpamanya boleh terjadi kepada individu yang terlalu takut, risau, tertekan atau terlalu sakit.

“Keadaan begini dalam istilah perubatan dikatakan ‘syncopal attack’ atau vasovagal syncopy,” katanya.

Beliau berkata, pelajar berkenaan telah dibenar pulang selepas didapati sihat dan selesai pemerhatian di PPV.

“Saya akan dapat maklumat lebih terperinci apabila menziarahi pelajar ini esok (Jumaat) jam 8.30 pagi. Apa pun pemeriksaan asas kesihatan perlu dilakukan doktor,” katanya.


Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan ibu bapa dan penjaga memastikan anak berada dalam keadaan terbaik termasuk tidur mencukupi dan bersarapan sebelum menerima suntikan vaksin.

“Saya sarankan pada pihak pengurusan PPV mengingatkan pelajar dan ibu bapa sekali lagi agar bersarapan,” katanya.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) berkata, pelajar juga tidak digalakkan melakukan aktiviti lasak seminggu selepas menerima suntikan vaksin.

“Jika ada masalah kesihatan, mesti maklumkan kepada doktor,” katanya. – SINAR HARIAN

Share Rangers's avatar

By Share Rangers

๐—ฉ๐—ฒ๐—ฟ๐—ถ๐—ณ๐—ถ๐—ฒ๐—ฑ ๐—”๐˜‚๐˜๐—ต๐—ผ๐—ฟ โ˜‘
Ringkas, padat dan terus kepada isi. Share Rangers membawakan kandungan berita, isu semasa dan informasi digital dalam gaya santai tetapi profesional. Fokus utama semestinya kategori โ€œRingkasโ€ - siri kandungan berita selektif yang cepat dibaca, mudah hadam dan relevan dengan masa kini.

Leave a Reply

Discover more from Share Rangers

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading